Original Draft of Persons with Disability Act Summary of Act in English
Chinese Version Summary of Chinese Version
Malay Version RINGKASAN: Cadangan Akta Orang Kurang Upaya
RINGKASAN: Cadangan Akta Orang Kurang Upaya
Pengenalan :
Kementerian Perpaduan dan Pembangunan Sosial Negara melalui Kumpulan Kerja Teknikal Penggubalan Undang-Undang yang diketuai oleh Encik Mah Hassan Haji Omar telah menyediakan satu deraf Akta akan dikenali sebagai Akta Orang Kurang Upaya . Akta ini akan dijadikan asas bagi penyamaan peluang kepada orang kurang upaya, menghapuskan diskriminasi dan gangguan terhadap mereka dan membolehkan penyertaan mereka dengan sepenuhnya di kalangan masyarakat.
Bab 1 Akta
Bahagian ini meliputi definasi-definasi. Antara lain, “kurang upaya” ditafsirkan sebagai "penghalangan atau kekurangan yang disebabkan kecacatan untuk melakukan sesuatu aktiviti dengan cara yang di anggap normal bagi seorang biasa.” Manakala, “kecatatan” diberi erti “sebarang kehilangan atau abnormaliti yang bersifat psikologi, fisiologi atau bentuk fungsi badan.”
Bab 2 Akta
Bahagian ini memperuntukkan penyamaan peluang dan penyertaan penuh untuk orang kurang upaya. Bab ini dibahagikan kepada tujuh (7) bahagian:-
Bab 2 Bahagian 1
Menyediakan garis panduan tentang tanggungjawab kesemua pihak berwajib untuk mencegah berlakunya kecacatan. Antara tanggungjawab yang diperuntukkan adalah untuk menjalankan kajian tentang punca-punca yang menyebabkan kecacatan dan memastikan bahawa kesemua kakitangan kesihatan di pusat rawatan utama mempunyai latihan dan kelengkapan yang secukupnya untuk memberi rawatan kesihatan kepada orang kurang upaya dan memastikan mereka ada akses kepada kaedah dan teknologi yang bersesuaian.
Bab 2 Bahagian 2
Bahagian ini menekankan bahawa pendidikan adalah asas kepada pembangunan orang kurang upaya. Bab ini menjelaskan keperluan untuk menyediakan peluang yang sama bagi orang kurang upaya terhadap pendidikan yang berkualiti. Bagi tujuan ini, pihak-pihak berwajib dikehendaki menyediakan pendidikan percuma kepada setiap orang kurang upaya dalam suasana yang sesuai sehingga mereka mencapai umur 18 tahun. Hal ini termasuklah menggalakkan intergrasi pelajar orang kurang upaya ke dalam sekolah biasa, membenarkan kelonggaran kurikulum serta tambahan dan adaptasi, menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti dan latihan penguruan yang berterusan.
Pihak-pihak berwajib juga dikehendaki untuk menyediakan skim pendidikan yang tuntas untuk diadaptasikan sebagai plan pendidikan khas bagi setiap kanak-kanak kurang upaya. Selain itu, pihak-pihak berwajib juga dikehendaki untuk menyediakan pengangkutan dan bantuan kewangan kepada ibubapa-ibubapa dan badan-badan bukan kerajaan yang terbabit.
Bab 2 Bahagian 3
Bahagian ini menyediakan langkah-langkah yang membolehkan orang kurang upaya mendapat pekerjaan atau bekerja untuk sendiri bagi membolehkan mereka ini turut menyumbang ke arah
pembangunan negara dan hidup berdikari. Bab ini memperuntukkan insentif bagi majikan-majikan dan juga bantuan dari segi kewangan dan latihan untuk orang kurang upaya memulakan dan menjalankan perniagaan mereka sendiri.
Bab 2 Bahagian 4
Bab ini meliputi kemudahan-kemudahan pemulihan dan perkhidmatan-perkhidmatan
yang perlu disediakan bagi orang kurang upaya.
Bab 2 Bahagian 5
Bab ini meliputi pendekatan yang harus diambil oleh pihak-pihak berwajib dan kerajaan tempatan supaya mengamalkan polisi-polisi untuk menyediakan kemudahan akses dipersekitaran (kemudahan bergerak di tempat awam dan bangunan kepunyaan pihak swasta) serta memberi akses kepada maklumat dan komunikasi kepada orang kurang upaya.
Bab 2 Bahagian 6
Bab ini menghendaki perkhidmatan sokongan daripada semua pihak yang terbabit untuk memastikan penyertaan orang kurang upaya dan pertubuhan-pertubuhan mereka dalam polisi-polisi kerajaan dan juga dalam apa-apa keputusan yang dicapai.
Bab 2 Bahagian 7
Bab ini menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik terhadap orang kurang upaya. Pihak berkuasa dikehendakai memberi bantuan pendapatan kepada orang kurang upaya , memberi insentif kepada orang kurang upaya untuk mencari pekerjaan dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah penderaan seksual dan juga penderaan lain terhadap orang kurang upaya.
Bab 3
Bab ini menetapkan bahawa diskriminasi berdasarkan kecacatan adalah menyalahi undang-undang. Orang kurang upaya diberi hak gantirugi sekiranya mereka didiskriminasikan atas alasan kecacatan. Bab ini dibahagikan kepada 5 bahagian.
Bab 3 Bahagian 1
Bahagian ini mentafsirkan diskriminasi secara nyata dan diskriminasi secara tidak langsung. Diskriminasi berlaku apabila seseorang mendiskriminasikan terhadap seorang orang kurang upaya atas sebab kecacatan nya. Diskriminasi secara tidak langsung ialah memberi layanan yang tidak sewajarnya terhadap orang kurang upaya disebabkan kecacatannya apabila dia dikehendaki memenuhi kehendak atau syarat yang mana adalah tidak munasabah.
Bab 3 Bahagian 2
Bahagian ini merangkumi semua keadaan yang mana diskriminasi tidak dibenarkan. Keadaan-keadaan ini meliputi pekerjaan, agensi-agensi, perkongsian, badan-badan kelulusan, pertubuhan-pertubuhan berdaftar, pendidikan, akses bagi bangunan-bangunan, penyediaan barang-barang, perkhidmatan-perkhidmatan, kemudahan-kemudahan, sukan dan aktiviti-aktiviti rekreasi dan berkenaan tanah dan urusan-urusan harta.
Bab 3 Bahagian 3
Bab ini melarang diskriminasi berdasarkan kecacatan yang melibatkan gangguan di tempat pekerjaan dan pendidikan.
Bab 3 Bahagian 4
Bab ini berkenaan pengecualian. Perlakuan yang dilakukan di bawah kuasa pihak-pihak berkanun, perintah Mahkamah atau Tribunal atau apa-apa undang-undang atau peraturan-peraturan atau untuk melindungi kesihatan awam tidak akan dianggap sebagai diskriminasi dan adalah tidak menyalahi undang-undang.
Bab 3 Bahagian 5
Bab ini memperuntukkan penubuhan satu Suruhanjaya Orang Kurang Upaya. Suruhanjaya ini terdiri daripada seorang pengerusi, empat (4) wakil dari kerajaan dan empat (4) wakil dari orang kurang upaya. Suruhanjaya ini berperanan untuk melaksanakan Akta ini, menasihati Menteri yang berkenaan menyediakan laporan-laporan kepada Parlimen, melindungi hak-hak orang kurang upaya dan meneliti aduan-aduan yang dibuat berkenaan diskriminasi. Suruhanjaya ini mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan-aduan, seterusnya bersama-sama dengan pihak penguatkuasa mendakwa pihak-pihak yang didakwa mendiskriminasikan orang kurang upaya dan/atau pihak-pihak yang gagal memenuhi peruntukan di dalam Akta cadangan ini.
Bab 4
Bab ini berkenaan kesalahan yang turut merangkumi hukuman yang akan dikenakan terhadap sesiapa yang mendiskriminasikan orang kurang upaya dan/atau pihak-pihak yang gagal mematuhi peruntukan Akta ini.
Original Draft of Persons with Disability Act Summary of Act in English
Chinese Version Summary of Chinese Version